Thursday, 28 September 2017

AWAS!!! PENYAKIT MERS-CoV DI KALANGAN JEMAAH HAJI!!!



 Assalamualaikum warga sihat sejahtera...

Adakah anda tahu atau pernah dengar penyakit MERS-CoV???

Untuk pengetahuan semua penyakit MERS-CoV merupakan singkatan daripada Middle East Respiratory  Syndrome Coronavirus. Penyakit ini dipercayai bermula di Arab Saudi dan dilaporkan di beberapa Negara Timur Tengah lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenainya pada September 2012. Sehingga 2 Disember  2016, sejumlah 1841 kes MERS- CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan di seluruh dunia yang melibatkan 27 buah negara, di mana  80% kes adalah dari negara Arab Saudi.  Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi. (Kenyataan Akhbar Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia)


TANDA & GEJALA

MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut dalam kalangan manusia. Gejala utama yang boleh didapati oleh seseorang yang terkena jangkitan MERS-Cov adalah :
  • Demam
  • Batuk dan
  • Kesukaran untuk bernafas
Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical) (WHO (2015). World Health Organization


PUNCA JANGKITAN

Menurut WHO, punca jangkitan dan cara jangkitan bagi jangkitan MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan, buat masa ini tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan MERS-CoV. Pihak WHO juga tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.


PENCEGAHAN

Orang awam yang ingin mengerjakan Haji/umrah di Tanah Suci atau mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah yang kini melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, hendaklah menitik beratkan perkara berikut:
  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
  2. Semasa dalam tempoh mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.
  3. Semasa dalam tempoh mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan, elakkan dari menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
  4. Mereka yang pulang ke Malaysia dari mengerjakan Haji/Umrah atau lawatan ke Negara-negara yang terlibat, khususnya dari negara di rantau Timur Tengah dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

KESIMPULAN

Secara amnya, semua Jemaah Haji/Umrah mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus MERS-CoV ini. Kerjasama pihak agensi pelancongan khususnya yang menguruskan Jemaah Haji/umrah adalah perlu agar dapat memperkukuhkan kesedaran mengenai kejadian jangkitan MERS-CoV melalui hebahan maklumat secara berterusan kepada para Jemaah Haji/umrah yang diuruskan. Bagi tujuan ini, agensi terbabit dipohon untuk merujuk kepada nasihat kesihatan sebagaimana yang disarankan di atas. Pemantauan oleh KKM mengenai situasi kejadian penyakit ini adalah perlu bagi pengambilan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.

Dengan serba sedikit info ini dapat membantu dan memberi sedikit pengetahuan mengenai penyakit MERS-CoV ini. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

AWAS!!! PENYAKIT MERS-CoV DI KALANGAN JEMAAH HAJI!!!

 Assalamualaikum warga sihat sejahtera... Adakah anda tahu atau pernah dengar penyakit MERS-CoV ??? Untuk pengetahuan semua penyakit...